Search This Blog

Monday, April 4, 2011

KAEDAH NGAJOR MANE YG BERKENAN?


Tak dinafikan bahawa tiada kaedah sempurna yang boleh memastikan ianya adalah yang paling berkesan namun, di zaman globalisasi ini, cabaran makin meningkat untuk memartabatkan generasi muda agar menjadi insan yang berguna. Anak muda kini bukan lagi seperti dahulu yang  seringkali perasaan ingin cuba itu tidak terdorong kearah kebaikan. Mereka lebih berpengalaman dalam apa jua informasi kerana segalanya ada dihujung jari mereka. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada berita yang mengatakan tingkahlaku yang tidak elok didengar terhadap murid  sekolah rendah.Apa yang difahami bahawa guru sekarang hendaklah  mencuba untuk pengajaran yang lain dari yang lain. Think out of the box hendaklah seiring dan menjadi realiti pemikiran guru yang dinamik. Sekiranya pelajar sudah mengetahui selok belok komputer, guru hendaklah lebih dari itu agar tidak mengurangi sedikit pun kepercayaan pelajar terhadap guru.

Antara kaedah yang sesuai digunakan ialah  kaedah perbincangan yang  bermaksud guru serta pelajar mengambil bahagian untuk sama-sama berbincang mengenai sesuatu dan ianya boleh disertakan sekali dengan teknik penyelesaian masalah. Kaedah perbincangan boleh berlaku secara formal dan tidak formal. Kaedah perbincangan secara formal melibatkan sesi perbahasan, program formal seperti pembentangan kertas kerja, seminar, forum diskusi, perdebatan ilmiah dan sebagainya. Manakala kaedah perbincangan yang bukan formal pula boleh berlaku dalam bilik darjah sahaja dimana guru sendiri akan menguruskan perbincangan dua hala tersebut. Guru boleh menggunakan kreativiti untuk menarik minat pelajar disamping memastikan keadaan kelas dalam keadaan terkawal.
Pembelajaran yang membabitkan dua hala antara guru dengan pelajar serta pelajar dengan guru sangat memberi kesan yang positif kearah pemfokusan isi pelajaran. Komunikasi dua hala ini akan mengimbangkan ilmu yang ingin disampaikan guru agar pembawaan mereka menjadi  lebih tersusun dan mudah difahami disamping pelajar pula bersedia untuk menerima ilmu tersebut. Namun, ianya akan lebih lagi berkesan sekiranya pelajar  bukan sahaja setakat menerima bahkan pelajar selesa untuk memberi respon dengan bertanya, dan berkongsi pendapat dan mungkin ada pendapat atau pengetahuan sedia ada pelajar yang boleh sama-sama dipelajari oleh rakan-rakan yang lain serta guru tersebut.
Teknik perbincangan ini memerlukan kerjasama dan keterlibatan daripada semua pelajar dalam kelas tersebut. Guru boleh memastikan semua pelajar terlibat dalam perbincangan mengikut kretiviti guru tersebut. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti membentuk kumpulan dengan pelbagai cara, melantik ketua setiap kumpulan dan sebagainya yang sedikit sebanyak dapat menarik semua pelajar supaya terlibat sama dalam aktiviti kumpulan sekaligus membanteras perbuatan ponteng kelas.
Apabila aktiviti dalam kumpulan berlaku, akan ada perbincangan yang membabitkan kerjasama setiap ahli kumpulan. Dari situ para pelajar akan dididik untuk mengeratkan tali persaudaraan bagi sesama muslim serta semangat perpaduan antara variasi kaum.
Guru juga akan lebih mudah untuk mengawal keadaan kelas dengan ada pembantu setiap ketua kumpulan yang mengawal setiap perbincangan dalam kumpulan. Peluang untuk mereka bermain-main adalah sangat nipis kerana guru telah menyibukkan pelajar dengan tugasan perbincangan. Jadi, berkuranglah masalah disiplin dalam kelas.
Guru juga boleh mengambil peluang untuk menilai kemampuan serta bakat kepimpinan para pelajar, tahap kecerdikan serta kecergasan pelajar disamping mudah mengetahui tahap kefahaman isi pelajaran yang telah disampaikan. Kadang-kadang pelajar akan lebih menonjolkan kefahaman sesama mereka dan ada juga dalam kalangan mereka yang membuat persaingan secara sihat dalam mengeluarkan pendapat.
Masa yang sangat sedikit diperuntukkan untuk mencapai sesuatu objektif yang digarapkan berkemungkinan menyukarkan dan mengganggu proses pembelajaran. Justeru, aktiviti perbincangan dapat mengisi kelompangan ilmu dengan bantuan pelajar sendiri. Hal ini kerana guru tidak sempat untuk memberi fokus kepada semua anak muridnya yang ramai, oleh itu kaedah perbincangan akan dapat menampung kekurangan tersebut.
Disamping itu juga, pelajar akan lebih mempercayai antara satu sama lain disamping mempercayai dan menyanjung tinggi guru tersebut kerana proses pengajaran yang lain daripada guru-guru yang lain. Mereka akan sentiasa mengingat pada isi perbincangan dan akan sering memperkatakan tentang guru tersebut kerana menggunakan kaedah yang merangkumi semua pelajar.
 Kesimpulannya, cabaran guru pada zaman globalisasi ini semakin tinggi sejajar dengan tahap kognitif pelajar yang meningkat akibat daripada gerbang informasi yang meluas. Justeru, guru hendaklah lebih bersifat dinamik dan inovatif serta bersungguh-sungguh dalam membentuk pelajar yang akan memberi khidmat kepada agama, Negara dan masyarakat kerana proses pembentukan sakhsiah manusia adalah bersifat sepanjang hayat.

No comments:

Post a Comment