Search This Blog

Wednesday, April 20, 2011

PERKAITAN ASSUNNAH

Taarif assunnah

Assunnah merupakan sumber kedua dalam syariat Islam. Ia banyak pengertian dalam beberapa bidang

ž  Menurut usul fiqh sebagai sumber ke-2 hukum syara’,
ž  Menurut ulama’ fuqaha ,perbuatan nabi yang sekiranya dilakukan mendapat lebih ganjaran dan jika tidak buat maka tiada mendapat dosa,namun sangat rugi untuk meninggalkan ganjaran.
ž  Menurut ulama’ hadis pula dianggap serupa dengan makna hadis iaitu semua yang disandarkan melalui percakapan, perbuatan atau pengakuan , sifat fizikal dan perwatakan nabi
ž  Menurut ulama usuluddin, bukan semuanya menjadi syariah kerana ada yang datang kepada kita dengan menjadi hukum dan ada yang tidak menjadi hukum,
ž  Menurut istilah ahli kalam pula sunnah ialah apa-apa yang berlawan dengan bid’ah, itulah sunnah, ahl sunnah wal jamaah

                                
Sunnah dalam bidang dakwah

Definisi umum dakwah
Dakwah adalah berasal daripada fi’il madhi da’a, dan masdarnya adalah dakwah yang bererti menyeru, memanggil, mengajak[1]. Secara umumnya, dakwah adalah seruan untuk mengajak manusia kepada Allah setelah kita mendapat bergelar seorang mukallaf (yang dipertanggungjawabkan) kerana apabila seseorang itu bergelar Muslim, maka dirinya sudah mukallaf dan wajib bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas seorang Muslim iaitu dakwah. Allah telah berfirman:[2]
4 ä
67. dan serulah (Wahai Muhammad) umat manusia kepada ugama Tuhanmu, kerana Sesungguhnya Engkau adalah berada di atas jalan Yang lurus.

Jabatan Dakwah dalam Akademi Pengajian Islam
Akademi Pengajian Islam juga tidak terlepas daripada tanggungjawab ini lebih-lebih lagi ianya merupakan tempat pengajian dan perkembangan ilmu agama. Dengan itu, Jabatan Dakwah ditubuhkan bagi memberi kesedaran berkenaan tanggungjawab menyeru manusia kepada Islam disamping mengajar metodologi dan cara-cara penyampaian dakwah serta memberi penerangan tentang apa yang terkandung dalam Islam agar para pendakwah tidak kosong dalam menyampaikan mesej-mesej Islam.[3] Isi kandungan yang dipelajari juga hendaklah yang selari dengan dua sumber utama Islam iaitu al-Quran dan as-Sunnah sebagai petunjuk agar manusia tidak terpesong dalam mencari tuhan juga tidak menyesatkan dalam menyampaikan mesej Islam seperti mana hadis[4] :
تركت فيكم ما إن تمسكتم به لن تضلوا بعدي ابدا كتاب الله وسنتي
telah aku (Muhammad) tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang kepadanya nescaya tidak akan sesat selamanya, ianya ialah al-Quran dan as-sunnah.
Selain itu, dakwah juga ditujukan kepada orang yang bersedia menerima Islam sebagai agamanya,memurnikan keyakinannya, membersihkan jiwanya dari penyakit nifak dan selalu menjaga amal perbuatannya agar tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Sasaran lain juga kepada seluruh penduduk bumi ini agar mengubah system pemerintahan zalim yang dipimpin oleh orang zalim dan menukar kepada system pemerintahan Islam serta beramal dengan hukum-hukum Islam agar hidup dengan aman dan sejahtera.[5]

Hubung kait as-Sunnah dengan pengajian dakwah

As-Sunnah sangat berhubung kait dengan bidang dakwah serta pembangunan modal insan. Seperti yang diterangkan dalam perenggan di atas, dakwah Islam ini tidak dapat tidak wajiblah mengikuti garis landasan yang ditetapkan Allah kerana kita lihat para nabi dan rasul menyampaikan risalah dan mesej Islam bukan atas diri sendiri bahkan setiap apa yang keluar daripada mulut nabi itu sendiri adalah wahyu daripada Allah.
     
2. Dan Turutlah akan apa Yang diwahyukan kepadamu dari Tuhanmu, (dan janganlah menurut adat resam Jahiliyah); 
Sesungguhnya Allah sentiasa mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.

As-Sunnah sebagaimana yang diketahui fungsinya adalah sebagai menjelaskan serta mentafsirkan apa yang terkandung dalam al-Quran yang mujmal dan mutasyabih dari sudut hukum sehinggalah aspek yang lain. Oleh itu al-Sunnah ialah penyempurnaan al-Quran. Pengajian dakwah hendaklah merangkumi penghayatan sunnah, hukum-hukum yang terdapat dalam as-sunnah, Ulum Hadith agar para pelajar dapat membezakan serta mengetahui yang mana hadis sahih, dhaif, dan maudhu’ agar tidak menjadi fitnah kepada masyarakat umum dalam menyampaikan mesej Islam.[6]“Berkata Imam Al-Hanid rahimullah: Kesemua jalan itu adalah tertutup(untuk seseorang itu berkata-kata)melainkan barangsiapa yang berkata-kata dengan Atsar(As-sunnah) rasulullah s.a.w.” [7]

Selain itu, pengajian dakwah juga hendaklah menitikberatkan keteladanan rasulullah sebagai role model, kaedah-kaedah hikmah yang ditunjukkan oleh nabi. Bukan semua perkara yang nabi sampaikan adalah sama sahaja kepada setiap orang tanpa mengambil kira perbezaan individu dari segi karakter dan sebagainya. Contoh yang di berikan adalah hadis berkenaan dengan amalan yang lebih afdhal selepas beriman dengan Allah dan rasulnya. Jawapan yang baginda berikan adalah tertakluk kepada keadaan dan kemampuan sahabat yang bertanya. Ada yang nabi menjawab berjihad di jalan Allah, ada juga yang menjawab berbakti kepada kedua orang tua dan sebagainya. Di sini jelaslah kepada kita bahawa pendakwah hendaklah ada ciri-ciri karismatik, mampu mengambil hati mad’u, memahami keadaan mad’u juga sangat perlu sebelum kita menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
”Berkata Imam Ahmad bin Abi Hawawi:Barangsiapa yang membuat sesuatu amalan tanpa mengikuti sunnah,maka batallah amalanya”[8]

Sunnah dalam quran
ž 
Sunnah menurut perspektif islam difahami menurut roh al-Quran yang telah diyakini kebenarannya dan keadilan hukumannya
ž  Meyaqini kebenaran utusan Allah- sebarang yang keluar daripada mulut nabi itu bersandarkan wahyu daripada Allah.
ž  Menjelaskan ayat quran yang mutasyabih, mengkhususkan yang umum. Contoh hak pewarisan nenek- al-Mughirah b syu’bah pernah melihat rasulullah memberi 1/6 kepada nenek.
ž  Memperincikan cara penyempurnaan solat
ž  Assunnah sebagai rujukan ke2 dalam masalah iman-kepercayaan kepada Allah yang kita tidak dapat melihat,perkara ghaib dan sebagainya yang tidak boleh difikir secara ghaib.
ž  “Abi Amr Sofian b Abdullah telah bertanya kepada rasulullah,khabarkan kepadaku tentang Islam yang aku tak perlu lagi bertanya kepada orang lain,jawab baginda,katakanlah aku beriman dengan Allah dan hendaklah engkau tetap di atas keadaan demikian”
ž  كان الله ولم يكن شيء غيره
ž  Hadis yang diriwayatkan Bukhary dan Baihaqi ini telah dijelaskan lagi oleh al-Hafiz Ibn Hajar Asqalani bahawa maksud kana dalam lafaz pertama ialah azali, dan lafaz ke2 ialah pembaharuan.
ž   
Sunnah  dengan  sejarah
ž 
Sabab wurud hadis
ž  Ittisol al-sanad-sjarah hidup perawi
ž  Waqi’ tempat dan zaman
ž  Berkaitan dengan kisah peradaban dan kehidupan nabi lebih-lebih lagi dizaman kegemilangan islam
ž  Sebelum kedatangan islam,keadaan masyarakat arab jahiliyah sangat tidak bertamaddun dari segi cara hidup
ž  Nabi diutuskan (turun perintah dakwah) dengan sunnah yang menjamin kehidupan yang menaikkan peradaban dimata dunia
ž  Faktor penguasaan ilmu-Iqra’,aisyah-sebagai rujukan
ž  Faktor penguasaan bahasa-gabenor,duta ke negara lain,al-Fateh


[2] Al-Haj,67
[3] Buku Panduan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya sesi 2008/2009, m/s 215
[4] Hadis sahih dalam buku Pendakwah Masa kini karangan Ahmad Mahmud Abu Zaid
[5] Petunjuk juru da’wah oleh Abul A’la al-Maududi m/s 1
[6] Pendakwah Masa kini karangan Ahmad Mahmud Abu Zaid m/s 24
[7] Bagaimana berinteraksi dengan sunnah oleh Yusuf Qardhawi
[8] Bagaimana berinteraksi dengan sunnah oleh Yusuf Qardha

Wednesday, April 6, 2011

PULANGKAN...(MISHA OMAR) -VERSI HUTANG PTPTN

(Ex-Student)
Sedikit bunga yang menggoda
Sekadar dipandang usah dibayar
Kau pasti tak percaya
Duitku bukan untukmu sayang

(Pegawai PTPTN)
Tiada kusangka kau sungguh kejam
Kau peram hutang yang kau pinjam
Namun takkan bahgia kehidupanmu
Bila engkau berkonvo
kau milikku...

Pulangkan hutang-hutangmu-(Pegawai PTPTN)

Oh hentikanlah menghantuiku-(Ex-Student)

Oh pulangkan oh pulangkanlah padaku-(Pegawai PTPTN)

Kupulangkan semua hutangku-(Ex-Student)

Yang dikau peram tanpa relaku-(Pegawai PTPTN)

Bebaskanlah maafkan daku oh kasih-(Ex-Student)

(Pegawai PTPTN)
Tiada kemaafan di sini
Kau hutang tanpa bayar sesen lagi
Akan ku jejakimu kemana jua
Hingga akhir nyawa...

Monday, April 4, 2011

KAEDAH NGAJOR MANE YG BERKENAN?


Tak dinafikan bahawa tiada kaedah sempurna yang boleh memastikan ianya adalah yang paling berkesan namun, di zaman globalisasi ini, cabaran makin meningkat untuk memartabatkan generasi muda agar menjadi insan yang berguna. Anak muda kini bukan lagi seperti dahulu yang  seringkali perasaan ingin cuba itu tidak terdorong kearah kebaikan. Mereka lebih berpengalaman dalam apa jua informasi kerana segalanya ada dihujung jari mereka. Jadi tidak hairanlah sekiranya ada berita yang mengatakan tingkahlaku yang tidak elok didengar terhadap murid  sekolah rendah.Apa yang difahami bahawa guru sekarang hendaklah  mencuba untuk pengajaran yang lain dari yang lain. Think out of the box hendaklah seiring dan menjadi realiti pemikiran guru yang dinamik. Sekiranya pelajar sudah mengetahui selok belok komputer, guru hendaklah lebih dari itu agar tidak mengurangi sedikit pun kepercayaan pelajar terhadap guru.

Antara kaedah yang sesuai digunakan ialah  kaedah perbincangan yang  bermaksud guru serta pelajar mengambil bahagian untuk sama-sama berbincang mengenai sesuatu dan ianya boleh disertakan sekali dengan teknik penyelesaian masalah. Kaedah perbincangan boleh berlaku secara formal dan tidak formal. Kaedah perbincangan secara formal melibatkan sesi perbahasan, program formal seperti pembentangan kertas kerja, seminar, forum diskusi, perdebatan ilmiah dan sebagainya. Manakala kaedah perbincangan yang bukan formal pula boleh berlaku dalam bilik darjah sahaja dimana guru sendiri akan menguruskan perbincangan dua hala tersebut. Guru boleh menggunakan kreativiti untuk menarik minat pelajar disamping memastikan keadaan kelas dalam keadaan terkawal.
Pembelajaran yang membabitkan dua hala antara guru dengan pelajar serta pelajar dengan guru sangat memberi kesan yang positif kearah pemfokusan isi pelajaran. Komunikasi dua hala ini akan mengimbangkan ilmu yang ingin disampaikan guru agar pembawaan mereka menjadi  lebih tersusun dan mudah difahami disamping pelajar pula bersedia untuk menerima ilmu tersebut. Namun, ianya akan lebih lagi berkesan sekiranya pelajar  bukan sahaja setakat menerima bahkan pelajar selesa untuk memberi respon dengan bertanya, dan berkongsi pendapat dan mungkin ada pendapat atau pengetahuan sedia ada pelajar yang boleh sama-sama dipelajari oleh rakan-rakan yang lain serta guru tersebut.
Teknik perbincangan ini memerlukan kerjasama dan keterlibatan daripada semua pelajar dalam kelas tersebut. Guru boleh memastikan semua pelajar terlibat dalam perbincangan mengikut kretiviti guru tersebut. Antara aktiviti yang boleh dilakukan adalah seperti membentuk kumpulan dengan pelbagai cara, melantik ketua setiap kumpulan dan sebagainya yang sedikit sebanyak dapat menarik semua pelajar supaya terlibat sama dalam aktiviti kumpulan sekaligus membanteras perbuatan ponteng kelas.
Apabila aktiviti dalam kumpulan berlaku, akan ada perbincangan yang membabitkan kerjasama setiap ahli kumpulan. Dari situ para pelajar akan dididik untuk mengeratkan tali persaudaraan bagi sesama muslim serta semangat perpaduan antara variasi kaum.
Guru juga akan lebih mudah untuk mengawal keadaan kelas dengan ada pembantu setiap ketua kumpulan yang mengawal setiap perbincangan dalam kumpulan. Peluang untuk mereka bermain-main adalah sangat nipis kerana guru telah menyibukkan pelajar dengan tugasan perbincangan. Jadi, berkuranglah masalah disiplin dalam kelas.
Guru juga boleh mengambil peluang untuk menilai kemampuan serta bakat kepimpinan para pelajar, tahap kecerdikan serta kecergasan pelajar disamping mudah mengetahui tahap kefahaman isi pelajaran yang telah disampaikan. Kadang-kadang pelajar akan lebih menonjolkan kefahaman sesama mereka dan ada juga dalam kalangan mereka yang membuat persaingan secara sihat dalam mengeluarkan pendapat.
Masa yang sangat sedikit diperuntukkan untuk mencapai sesuatu objektif yang digarapkan berkemungkinan menyukarkan dan mengganggu proses pembelajaran. Justeru, aktiviti perbincangan dapat mengisi kelompangan ilmu dengan bantuan pelajar sendiri. Hal ini kerana guru tidak sempat untuk memberi fokus kepada semua anak muridnya yang ramai, oleh itu kaedah perbincangan akan dapat menampung kekurangan tersebut.
Disamping itu juga, pelajar akan lebih mempercayai antara satu sama lain disamping mempercayai dan menyanjung tinggi guru tersebut kerana proses pengajaran yang lain daripada guru-guru yang lain. Mereka akan sentiasa mengingat pada isi perbincangan dan akan sering memperkatakan tentang guru tersebut kerana menggunakan kaedah yang merangkumi semua pelajar.
 Kesimpulannya, cabaran guru pada zaman globalisasi ini semakin tinggi sejajar dengan tahap kognitif pelajar yang meningkat akibat daripada gerbang informasi yang meluas. Justeru, guru hendaklah lebih bersifat dinamik dan inovatif serta bersungguh-sungguh dalam membentuk pelajar yang akan memberi khidmat kepada agama, Negara dan masyarakat kerana proses pembentukan sakhsiah manusia adalah bersifat sepanjang hayat.

MANE YANG PENTING???

FIQH AULAWIYAT
Istilah ini terdiri dari dua perkataan. Pertama ialah “Fiqh” yang bermaksud kefahaman. Lazimnya ia dikaitkan dengan hukum, maka dengan itu ia bermaksud kefahaman terhadap sesuatu hukum. Justeru apabila dikatakan “Fiqh Solat”, bererti subjek yang memberi kefahaman kepada hukum, hikmah dan objektif solat dalam suasana biasa dan tidak biasa. Ada pun kebiasaan silibus tempatan yang menekankan hafalan hukum-hukum berkaitan solat, ia tidak dapat disebut sebagai “Fiqh Solat” tetapi lebih kepada “Hafazan Solat”.

      Al-Awlawiyat berasal dari perkataan “Awla” yang bermaksud utama, unggul dan penting. Apabila dihubungkan menjadi Fiqh al-Awlawiyat, ia bermaksud kefahaman dalam membezakan hukum ke arah yang lebih utama, lebih unggul dan lebih penting. Secara ejaan, Fiqh al-Awlawiyat tidak wujud di dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, akan tetapi secara maksud dan konsep, ia wujud secara jelas di dalam kedua-dua sumber mulia tersebut.

      Dalam perbicaraan Fiqh al-Awlawiyat, para pembaca juga perlu beramah mesra dengan dua istilah yang lazim digunakan, iaitu maslahat dan mafsadat. Secara mudah, maslahat ialah kebaikan atau faedah manakala mafsadat ialah keburukan atau kerosakan. Setiap sesuatu yang dilarang oleh syari‘at sebagai haram atau makruh pasti memiliki sesuatu mafsadat yang ingin dijauhkan. Manakala setiap sesuatu yang disuruh oleh syari‘at sebagai harus, sunat atau wajib pasti memiliki sesuatu maslahat yang ingin dicapai
Secara kesimpulannya, Fiqh Al-Awlawiyat ialah meletakkan sesuatu pada ukuan yang sepatutnya semasa melakukan sesuatu tindakan. Tidak didahulukan sesuatu yang sepatutnya dikemudiankan dan tidak dikemudiankan sesuatu yang sepatutnya didahulukan. Tidak diperkecilkan perkara yang besar dan tidak diperbesarkan perkara yang kecil. Fiqh Al-Awlawiyat ini mempunyai hubungan erat dengan fiqh Al-Muwazanat.

Contohnya amalan fardu kifayah tidak boleh didahulukan dari amalan fardu Ain. Amalan fardu Ain didahulukan dari amalan fardu kifayah. Amalan fardu kifayah yang tidak dilakukan oleh seseorang, hendaklah didahulukan dari fardu kifayah yang sudahpun dilakukan oleh beberapa individu. Perkara wajib yang telah ditetapkan waktunya didahulukan dari perkara wajib yang diluaskan waktu pelaksanannya. Amalan fardu Ain yang melibatkan kepentingan jamaah, mendahului amalan fardu Ain yang melibatkan kepentingan individu.

Antara perkara yang tidak wujud pada pendakwah dan muballigh di zaman ini ialah kefahaman terhadap fiqh Al-Awlawiyat. Kebanyakan mereka menumpukan kepada persoalan cabang dari persoalan dasar, persoalan juz’iyyah dari persoalan kulliyah dan persoalan yang diperselisihkan oleh ulama dari perkara yang telah disepakati oleh ulama. Kadang-kadang perkara yang ditanya ialah persoalan berkaitan dengan hukum darah nyamuk, sedangkan isu lebih besar seperti hukum darah Sayyiduna Husain yang dibunuh di Karbala dibiarkan begitu sahaja. Kadang-kadang sesuatu amalan sunat menimbulkan pertikaman lidah yang sengit dan menyebabkan amalan fardu tergendala. Kadang-kadang perkara luar, dibahaskan, tetapi isi diketepikan.

Fiqh al-Awlawiyat Antara Dua Larangan Yang Saling Bertembung.

      Katakanlah kita berhadapan dengan dua larangan dalam satu masa, larangan pertama hukumnya makruh manakala larangan kedua hukumnya haram. Maka tindakan yang benar ialah menjauhi kedua-duanya. Seterusnya, katakanlah kita hanya mampu menjauhi salah satu darinya, maka tindakan yang lebih utama ialah menjauhkan larangan yang hukumnya haram. Tentu saja ini mudah untuk kita pertimbang dan utamakan.
      Namun bagaimana jika kita berhadapan dengan dua larangan dalam satu masa dimana kedua-dua hukumnya adalah haram dan kita hanya mampu menjauhi salah satu darinya? Di sinilah terdapatnya kepentingan Fiqh al-Awlawiyat. Kes seumpama ini pernah disentuh oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam firman-Nya

217. Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad), mengenai (hukum) berperang Dalam bulan Yang dihormati; katakanlah: "Peperangan Dalam bulan itu adalah berdosa besar, tetapi perbuatan menghalangi (orang-orang Islam) dari jalan Allah dan perbuatan kufur kepadaNya, dan juga perbuatan menyekat (orang-orang Islam) ke Masjid Al-Haraam (di Makkah), serta mengusir penduduknya dari situ, (semuanya itu) adalah lebih besar lagi dosanya di sisi Allah. dan (ingatlah), angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang Dalam bulan Yang dihormati). dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan Yang demikian); dan sesiapa di antara kamu Yang murtad (berpaling tadah) dari ugamanya (ugama Islam), lalu ia mati sedang ia tetap kafir, maka orang-orang Yang demikian, rosak binasalah amal usahanya (yang baik) di dunia dan di akhirat, dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya (selama-lamanya).
 [al-Baqarah 2:217]
Dalam ayat di atas, umat Islam berhadapan dengan dua larangan yang saling bertembung dalam satu masa:

* Larangan # 1: Berperang dalam bulan-bulan yang dihormati, iaitu bulan Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram dan Rejab. Peperangan memiliki mafsadat di sebaliknya seperti kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda, maka larangan berperang pada bulan-bulan yang dihormati adalah bagi mengurangi mafsadat tersebut.

* Larangan # 2: Membiarkan musuh-musuh menghalangi umat Islam dari jalan Allah, khasnya menghalang umat Islam dari memasuki Kota Mekah untuk beribadah di Masjid al-Haram sekali pun dalam bulan-bulan yang dihormati. Jika dibiarkan, tindakan musuh ini akan memberi mafsadat kepada Islam dan umatnya.
      Antara dua larangan di atas, mafsadat yang kedua lebih berat dari yang pertama. Ini dapat diketahui dengan membandingkan antara mafsadat pertama yang Allah sifatkan sebagai “…berdosa besar” dengan mafsadat kedua yang Allah sifatkan sebagai “…lebih besar dosanya di sisi Allah.” Seterusnya Allah Subhanahu wa Ta'ala juga menerangkan bahawa fitnah dari membiarkan tindakan musuh menghalangi umat Islam adalah lebih besar kesannya berbanding bunuh-membunuh yang berlaku dalam peperangan, sekali pun dalam bulan-bulan yang dihormati.

      Berdasarkan ayat di atas dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu berhadapan dengan dua atau lebih larangan dalam satu masa dan dia tidak mampu menjauhi semua larangan tersebut, maka:

* Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa pendek.
* Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya berbanding larangan yang mafsadatnya memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya.

* Lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya bersifat pasti berbanding larangan yang mafsadatnya bersifat kemungkinan.
      Sebagai contoh katakan seorang wanita telah terlanjur berzina sehingga menyebabkan dia hamil. Lelaki yang menzinainya tidak mahu bertanggungjawab ke atas tindakan mereka dan terus menghilang diri. Wanita tersebut berfikir sama ada untuk terus mengandung, melahir dan membesarkan anak itu atau menggugurkannya. Di sini terdapat dua larangan yang saling bertembung:

* Larangan # 1: Menggugurkan janin (fetus dalam kandungan).

* Larangan # 2: Membiarkan diri dan anak difitnah oleh masyarakat dalam suasana dia mengandung tanpa suami dan anak pula membesar tanpa ayah.

      Larangan yang manakah yang patut diutamakan, maksudnya dijauhkan? Individu yang berbeza mungkin memiliki pilihan keutamaan yang berbeza. Bagi wanita yang hidup dalam lingkungan ahli keluarga dan sahabat-sahabat yang saling memberi sokongan moral, dia akan mengutamakan Larangan # 1, iaitu tidak menggugurkan anak. Adapun fitnah dari masyarakat terhadap diri dan anaknya, ia adalah mafsadat yang bersifat kemungkinan sementara menggugurkan anak adalah mafsadat yang bersifat pasti. Maka berdasarkan kaedah Fiqh al-Awlawiyat, adalah lebih utama menjauhkan larangan yang mafsadatnya bersifat pasti berbanding larangan yang mafsadatnya bersifat kemungkinan.

      Berbeza bagi wanita yang hidup dalam lingkungan orang-orang yang tidak lekang dari mencela dan menghina atas keterlanjurannya itu. Maka mengutamakan Larangan # 2 mungkin menjadi pilihannya, iaitu menggugurkan anak. Dia merasakan tidak sanggup menghadapi fitnah yang berterusan, apatah lagi diyakininya bahawa fitnah itu akan bertambah hebat ketika dalam peringkat membesarkan anak. Maka wanita ini cenderung kepada kaedah Fiqh al-Awlawiyat yang menyatakan adalah lebih utama untuk menjauhkan larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding larangan yang mafsadatnya memberi kesan jangka masa pendek.

      Di sini ingin dijelaskan, sama ada bagi contoh di atas atau selainnya, bahawa dalam mempertimbangkan apakah tindakan yang lebih utama, individu yang berbeza akan memiliki pilihan yang berbeza. Banyak faktor yang mempengaruhi pilihan tersebut, seperti tahap ilmu, kadar jatidiri, lokasi dan keadaan masyarakat sekeliling. Faktor-faktor ini akan sentiasa berbeza antara individu yang berbeza, maka dengan itu pilihannya tentang apakah yang lebih utama akan berbeza juga.
Fiqh al-Awlawiyat Antara Dua Suruhan Yang Saling Bertembung.

      Apabila berhadapan dengan dua atau lebih suruhan agama, maka yang terbaik ialah melaksanakan kesemua suruhan tersebut. Apabila tidak mampu melaksanakan keseluruhan suruhan agama yang berbeza-beza hukumnya antara harus, sunat dan wajib, maka yang utama ialah melaksanakan yang wajib, kemudian yang sunat dan kemudian yang harus.

      Akan tetapi bagaimanakah sikap kita apabila berhadapan dengan dua suruhan yang sama darjat hukumnya dan kita hanya mampu melaksanakan salah satu darinya? Sekali lagi, kemahiran dalam subjek Fiqh al-Awlawiyat akan dapat membantu menyelesaikan persoalan ini. Perhatikan hadis berikut:

      Seorang sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan-jalan di satu lembah dan ternampak sebuah mata air yang indah sehingga mengkagumkan dia. Dia berkata: “Andainya aku mengasingkan diri dari manusia (uzlah) dan tinggal di lembah ini, akan tetapi aku tidak akan melakukannya melainkan setelah meminta izin daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam.” Hajatnya ini dikhabarkannya kepada Rasulullah lalu baginda menjawab:

لاَ تَفْعَلْ فَإِنَّ مُقَامَ أَحَدِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَفْضَلُ مِنْ صَلاَتِهِ فِي بَيْتِهِ سَبْعِينَ عَامًا. أَلاَ تُحِبُّونَ أَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ الْجَنَّةَ ؟ اغْزُو فِي سَبِيلِ اللَّهِ مَنْ قَاتَلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَوَاقَ نَاقَةٍ وَجَبَتْ لَهُ الْجَنَّةُ.
        Jangan melakukannya kerana sesungguhnya kedudukan seseorang kamu di (medan Jihad) di jalan Allah adalah lebih utama daripada bersolat dalam rumah selama 70 tahun. Apakah kamu tidak suka bahawa Allah mengampunkan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga ? Berperanglah di jalan Allah, barangsiapa yang berperang di jalan Allah selama tempoh memerah susu unta (yakni tempoh yang sekejap) maka wajib ke atasnya Syurga. [Shahih Sunan al-Tirmizi, hadis no: 1650]

      Dalam hadis di atas terdapat dua suruhan agama yang saling bertembung:

* Suruhan # 1: Mendirikan solat dalam tempoh masa yang lama di tempat yang indah agar dapat memperolehi kekhusyukan yang sempurna. Ia mengandungi maslahat kepada orang yang bersolat.

* Suruhan # 2: Berjuang di medan perang demi menegakkan kalimah Allah dan membela nasib umat Islam. Ia mengandungi maslahat membela nasib agama dan umat Islam manakala orang yang berperang dijamin keampunan Allah dan balasan syurga.

      Di antara dua suruhan di atas, yang lebih utama ialah suruhan kedua kerana ia mengandungi kadar maslahat yang lebih besar berbanding suruhan pertama. Ini terbukti dengan perkataan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam “…adalah lebih utama daripada bersolat…”.

      Berdasarkan hadis di atas dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyyat. Jika seseorang itu berhadapan dengan dua atau lebih suruhan dalam satu masa dan dia tidak mampu melaksanakan semua tersebut, maka:
  •   Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya memberi kesan jangka masa panjang berbanding suruhan yang maslahatnya memberi kesan jangka masa pendek.
  • Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya berbanding suruhan yang maslahatnya memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya.
  • Lebih utama untuk melaksanakan suruhan yang maslahatnya bersifat pasti berbanding suruhan yang maslahatnya bersifat kemungkinan.
      Sebagai contoh bagi Fiqh al-Awlawiyat antara dua suruhan yang saling bertembung ini, ingin saya kongsi persoalan yang agak lazim saya terima daripada para pelajar pusat pengajian tinggi. Mereka lazim bertanya, manakah yang patut diutamakan, pelajaran atau aktiviti agama bersama jamaah masing-masing di kampus? Atau adakah pelajaran dan aktiviti agama diletakkan pada tahap yang sama? Ini kerana dalam persoalan ini kelihatannya ada dua suruhan agama yang saling bertembung:

* Suruhan # 1: Belajar.
* Suruhan # 2: Membela agama.

 Antara dua suruhan ini, yang utama ialah pelajaran. Sebabnya:

1. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat jangka masa yang panjang. Empat tahun (purata) di pusat pengajian tinggi akan memberi maslahat kepada dirinya sehinggalah dia meninggal dunia. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar maslahat dalam tempoh empat tahun dia berada di kampus itu. Jarang-jarang ditemui pelajar yang aktif di kampus akan aktif setelah tamat dari kampus dengan aktiviti agama.

2. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat kepada orang yang besar jumlahnya. Kelulusannya cemerlang dalam pelajaran akan membolehkan dia bekerja dan menjadikan kerjayanya sebagai sarana melakukan kerja-kerja dakwah dan islah kepada orang ramai sehinggalah ke akhir hayat. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia sekadar mencapai maslahat untuk warga kampus.

3. Pelajaran, yakni ilmu, akan memberi maslahat yang bersifat pasti. Ini kerana apa saja yang dilakukan oleh seseorang, kemaslahatan yang hakiki hanya akan tercapai jika ia berdasarkan ilmu yang sahih. Ada pun aktiviti agama di kampus, ia lebih kepada semangat dan pengisian jiwa yang kosong akibat jauh dari keluarga tersayang. Maka jika ada maslahat, ia adalah maslahat yang bersifat kemungkinan.

      Justeru berdasarkan pertimbangan Fiqh al-Awlawiyat, pelajaran adalah lebih utama dari aktiviti agama. Namun saya tidaklah bermaksud seseorang itu meninggalkan aktiviti agama secara keseluruhan. Hanya hendaklah ia disusun mengikut tertib keutamaan. Sekadar cadangan, hendaklah tenaga dan masa dibahagikan pada kadar 40% untuk pelajaran dalam jurusan masing-masing, 40% untuk meningkatkan ilmu agama dan 20% untuk aktiviti agama.

      Ilmu agama tidak sama dengan aktiviti agama. Ilmu agama ialah firman Allah Subhanahu wa Ta'ala, sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dan penjelasannya oleh para ilmuan Ahl al-Sunnah wa al-Jama'ah. Aktiviti agama hendaklah bertepatan dengan ilmu agama kerana ilmu memimpin amal dan bukan sebaliknya. Betapa ramai orang yang melakukan aktiviti agama tetapi ia berseberangan dengan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah yang sahih.

      Renungilah! Anda masih mempunyai masa yang banyak untuk menambah kadar aktiviti agama selepas anda lulus pengajian dan selepas anda memiliki ilmu agama yang secukupnya. Maslahat jangka masa panjang hendaklah diutamakan dari maslahat jangka masa pendek
Fiqh al-Awlawiyat Antara Suruhan dan Larangan Yang Saling Bertembung.

      Bagaimana pula sikap kita apabila berhadapan dengan satu keadaan yang bertembung antara suruhan dan larangan agama? Hadis berikut memberi jawapannya:

فَإِذَا نَهَيْتُكُمْ عَنْ شَيْءٍ فَاجْتَنِبُوهُ وَإِذَا أَمَرْتُكُمْ بِأَمْرٍ فَأْتُوا مِنْهُ مَا اسْتَطَعْتُمْ.
        Apabila aku melarang kalian dari sesuatu maka jauhilah ia dan apabila aku menyuruh kalian dengan sesuatu urusan maka laksanakanlah sedaya upaya kamu. [Shahih al-Bukhari, hadis no: 7288]

Hadis di atas menggabungkan antara larangan dan suruhan, iaitu:
* Larangan: Jauhilah ia, sekali pun yang kecil atau sedikit darinya.
* Suruhan: Laksanakanlah ia sedaya mungkin, sekali pun yang kecil atau hanya sedikit darinya.

      Berdasarkan hadis ini dirumuskan kaedah Fiqh al-Awlawiyat bahawa apabila bertembung antara larangan dan suruhan dalam satu masa dan seseorang itu hanya mampu melakukan salah satu daripadanya, maka adalah lebih utama untuk menjauhkan larangan berbanding melaksanakan suruhan.

      Di sini timbul persoalan kedua yang lebih penting. Sama-sama diketahui bahawa di sebalik setiap larangan ada mafsadat yang ingin dijauhi oleh agama manakala di sebalik setiap suruhan ada manfaat yang ingin dicapai oleh agama. Lalu bolehkah kita berusaha mencapai satu matlamat yang disuruh oleh agama dengan cara yang dilarang oleh agama?

      Lazimnya kita akan menjawab “tidak” kerana “matlamat tidak menghalalkan cara”. Ini ialah jawapan yang selamat namun tidak semestinya tepat. Sebabnya, berdasarkan kaedah Fiqh al-Awlawiyat, boleh atau tidak dipertimbangkan antara maslahat di sebalik matlamat yang disuruh dengan mafsadat di sebalik cara yang dilarang. Ia seperti berikut:
  •   Jika mafsadat di sebalik cara adalah lebih besar berbanding maslahat di sebalik matlamat, maka adalah lebih utama untuk meninggalkan matlamat tersebut.
  •  Jika maslahat di sebalik matlamat adalah lebih besar berbanding mafsadat di sebalik cara, maka adalah lebih utama untuk melaksanakan matlamat tersebut.
      Dalilnya ialah peristiwa Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku di antara umat Islam dan kaum kafir Mekah. Ringkasnya apabila perjanjian hendak ditulis, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam berkata kepada jurutulisnya, Ali bin Abi Thalib radhiallahu 'anh agar surat perjanjian dimulai dengan: “Bismillahir Rahmanir Rahim”. Wakil kaum kafir Mekah, Suhail bin Amr membantah dengan berkata: “Ada pun al-Rahman, maka demi Allah! Aku tidak tahu apakah itu. Akan tetapi tulislah: “Bismikallahumma”. Kaum muslimin yang hadir ketika itu membantah: “Demi Allah! Kami tidak akan menulisnya melainkan dimulai dengan Bismillahir Rahmanir Rahim”. Namun Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda: “(Tak mengapa), tulislah Bismikallahumma”.

      Kemudian Rasulullah berkata kepada jurutulisnya: “Ini adalah apa yang diputuskan oleh Muhammad, Rasul Allah”. Sekali lagi ia dibantah oleh Suhail: “Sekiranya kami mengetahui bahawa engkau adalah Rasul Allah, nescaya kami tidak akan menghalangi kamu mengunjungi Baitullah dan kami tidak akan memerangi kamu. Akan tetapi tulislah – Muhammad bin Abdullah.”

      Rasulullah menjawab: “Demi Allah! Sungguh aku adalah Rasul Allah sekali pun kalian mendustakan aku. (Tak mengapa), tulislah – Muhammad bin Abdullah.” Seterusnya Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam meminta: “Maka janganlah menghalangi kami untuk mengunjungi Baitullah agar kami dapat melakukan tawaf di sana.” Dengan permintaan ini perjanjian dipersetujui dan mulai tahun seterusnya, umat Islam dapat masuk ke Mekah dan tawaf di Baitullah dalam Masjid al-Haram. [Shahih al-Bukhari, hadis no: 2731-2732 secara ringkas]

 Dalam peristiwa di atas terdapat pertembungan antara matlamat dan cara:

* Matlamat: Melaksanakan umrah di Masjid al-Haram. Ia termasuk suruhan agama.

* Cara: Menafikan dalam surat perjanjian nama Allah “al-Rahman dan al-Rahim” dan menafikan kedudukan Muhammad sebagai seorang Rasul Allah. Ini termasuk larangan agama.

      Dalam menghadapi pertembungan di atas, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengetahui bahawa melaksanakan umrah memiliki maslahat yang besar kepada umat Islam berbanding penafian nama Allah dan kedudukan baginda yang memiliki mafsadat yang kecil. Ini kerana penafian tersebut hanya berlaku di atas kertas perjanjian dan tidak secara hakiki. Maka atas dasar pertimbangan antara matlamat dan cara, juga antara maslahat dan mafsadat, baginda mempersetujui perjanjian tersebut.

      Di sini dapat dirumuskan beberapa kaedah Fiqh al-Awlawiyat bahawa dibolehkan mencapai matlamat yang disuruh dengan cara yang dilarang dengan syarat:
  • Maslahat di sebalik matlamat adalah jauh lebih besar sementara mafsadat di sebalik cara adalah jauh lebih kecil.
  • Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan jangka masa panjang sementara mafsadat di sebalik cara memberi kesan jangka masa pendek.
  •  Maslahat di sebalik matlamat memberi kesan kepada orang yang besar jumlahnya sementara mafsadat di sebalik cara memberi kesan kepada orang yang kecil jumlahnya.
  • Maslahat di sebalik matlamat bersifat pasti sementara mafsadat di sebalik cara bersifat kemungkinan.
      Walaubagaimanapun penting untuk digariskan di sini bahawa kaedah-kaedah di atas bukanlah untuk diamalkan sesuka hati oleh orang awam dan para penuntut ilmu. Ini kerana tidak ramai yang mampu menilai secara adil dan luas antara matlamat dan cara, antara maslahat dan mafsadat. Sesuatu perkara mungkin dianggap matlamat yang memiliki maslahat padahal ia sebenarnya adalah satu mafsadat. Sesuatu cara mungkin dianggap memiliki kadar mafsadat yang sementara padahal ia sebenarnya memberi kesan jangka masa yang amat panjang.

      Justeru kaedah-kaedah di atas hanyalah layak diamalkan oleh para mujtahid dan ahli fatwa. Ada pun bagi orang awam dan para penuntut ilmu, kaedah yang selamat ialah “Matlamat tidak menghalalkan cara”
Tidak Termasuk Fiqh al-Awlawiyat.
      Ukuran sama ada sesuatu perkara adalah utama atau tidak bukan bergantung kepada semangat atau kecenderungan peribadi, tetapi bergantung kepada dalil dan hujah. Kadangkala kita mendengar orang-orang yang kononnya memiliki “wawasan besar terhadap agama” melaungkan kata-kata “Persoalan wudhu’ dan zikir hal kecil, persoalan negara Islam dan Palestin hal besar! Jangan disibuk-sibukkan dengan hal kecil!”. Kenyataan ini salah paling kurang dari dua sudut:

1. Jika dikaji sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, akan didapati baginda memberi perhatian yang besar sekalipun terhadap perkara yang mungkin di sisi sebahagian orang dianggap kecil. Ambil saja contoh bab wudhu’, baginda pernah melihat sebahagian sahabat berwudhu’ tetapi mereka tidak membasuh tumit kaki mereka dengan sempurna. Melihat yang sedemikian Rasulullah menegur beberapa kali dengan suara yang tegas lagi tinggi:

وَيْلٌ لِلأَعْقَابِ مِنْ النَّارِ!
  Celakalah tumit-tumit (yang bakal terkena) api neraka! [Shahih al-Bukhari, hadis no: 60]

Nah! Persoalan tumit yang tidak terkena air mungkin dianggap kecil oleh orang yang memiliki “wawasan besar terhadap agama”. Akan tetapi di sisi Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam, ia tetap merupakan isu besar yang perlu ditegur serta merta secara tegas.

2. Jika seorang muslim cuai dan jahil dalam persoalan “kecil”, lalu bagaimana mungkin dia dianggap mampu bersikap cemerlang dan bijak dalam persoalan “besar”? Tentu saja tidak. Maka tidak hairanlah kita lazim mendengar atau membaca pandangan-pandangan yang lebih mafsadat dari maslahat dari orang-orang yang konon memiliki “wawasan besar terhadap agama” dalam isu negara Islam, Palestin dan pemulauan barangan negara Barat.

PENUTUP.

      Para tokoh generasi awal umat Islam (al-Salaf al-Shalih) pernah berpesan, seorang muslim yang bijak bukanlah mereka tahu membezakan antara yang halal dan haram. Akan tetapi dia ialah seorang yang mampu membezakan antara dua perkara yang halal, manakah yang lebih utama untuk diambil dan antara dua perkara yang haram, manakah yang lebih utama untuk dijauhkan.

      Semoga risalah ringkas ini berkenaan Fiqh al-Awlawiyat mampu membawa kita ke arah ciri-ciri muslim yang bijak. Apatah lagi dalam suasana umat Islam sekarang ini yang mundur dalam serba serbi persoalan, janganlah pula kita menjadi mundur dalam persoalan agama kita sendiri.