Search This Blog

Saturday, November 20, 2010

SALAM EID ADHA 1431 H

Pengorbanan merupakan suatu istilah yang wajib ada dalam kamus kehidupan individu baik yang muslim mahupun non muslim. Tidak kiralah pengorbanan dalam apa jua bentuk sekalipun. Pengorbanan ibubapa dalam membesarkan anak-anak, pengorbanan suami terhadap isteri mahupun sebaliknya, pengorbanan pemimpin terhadap rakyat jelata, bahkan pengorbanan yang utama bagi muslim adalah berkorban dengan harta dan nyawa untuk Islam seperti mafhum firman Allah dalam surah al-Saff ayat 11 dinyatakan " kamu berjihad di jalan Allah dengan mengorbankan harta dan jiwamu,itu adalah lebih baik bagimu sekiranya kamu mengetahui".
Mimbar eid adha tidak akan lengkap sekiranya tidak disertakan dengan tinjauan sirah di zaman nabi Ibrahim a.s serta isterinya Siti Hajar dan anak mereka nabi Ismail a.s. Allah telah merakamkan kisah mereka dalam surah as-Saffat 102-111. "ketika anak itu (Ismail) sampai pada umurnya yg mampu berusaha bersamanya, Ibrahim berkata,wahai anakku! aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. apa pendapatmu!. Ismail menjawab, hai ayahku, lakukanlah apa yang diperintahkan Allah kepadamu, Insya Allah engkau akan dapati aku dikalangan orang yang sabar. Ketika keduanya telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya diatas pelipisnya, lalu kami (Allah) memanggil dia. wahai Ibrahim, sesungguhnya kau telah membenarkan mimpimu. Demikianlah kami memberi balasan terhadap orang yang berbuat baik. sesungguhnya ini benarbenar satu ujian yang nyata.Kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar. Dan kami abadikan pujian terhadap Ibrahim pada umat yang akan datang. Salam sejahtera ke atas Ibrahim! Demikianlah kami memberi balasan kepada orang yang berbuat baik. Sesungguhnya dia termasuk hamba kami yang beriman."
kita lihat ayat tersebut sebenarnya berkaitan dengan Aqidah dan sejauh mana kepercayaan kita terhadap janji-janji Allah. Nabi Allah Ibrahim dan Ismail sangat yakin dan berserah diri pada Allah. Tidak mempersoalkan tujuan,hikmah dan alasan lain dalam melaksanankan perintah Allah. Kisah inilah yang harus dijadikan teladan kepada Baitul Muslim dalam membina pewaris yang bakal menegakkan deen Islam. Keberanian disertakan dengan keyakinan akan janji-janji Allah akan menentukan sejauh mana keikhlasan hamba-hambanya dalam menegakkan syiar. Nabi Ibrahim ada berdoa kepada Allah agar dipelihara keturunannya daripada maksiat dan fitnah dalam surah al-Baqarah ayat 128, "ya tuhan kami, jadikanlah kami orang yang berserah diri kepadamu, dan anak cucu kami juga umat yang berserah diri kepadamu..". Amalkanlah doa tersebut dan hayatilah erti pengorbanan orang-orang yang terdahulu. Wallahu a'lam. SELAMAT HARI RAYA EIDIL ADHA 1431 H, KULLU AM WA ANTUM BI KHAIR..

No comments:

Post a Comment